U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Pesta Dan Kepestaannya (0)

Tuesday, March 24, 2015 by , under



Selepas lima bulan kelahiran Pesta di Padang Jiwa, aku dihubungi pihak ITBM yang membisik melalui corong talian maya tentang undangan naskah terbaharu karya aku ini. Sebetulnya aku ingin menolak kerana sudah merancang untuk melancarkannya sekaligus dalam showcase April ini di Talent Lounge, PJ Trade Centre tetapi kerana mendengar aku dibariskan dengan pelancaran Luka Nering oleh Sasterawan Perak; Malim Ghozali PK & penerima Hadiah Sastera Perdana; Marsli NO, mana mungkin aku dapat menidakkan pelawaan ini. 

Justeru pada 6 Mac lalu dalam suasana cukup sederhana di laman Rumah PENA, Pesta Di Padang Jiwa dirasmikan pelancarannya oleh Tan Sri Abdul Ghaffar, Pengarah Perbadanan Kota Buku yang juga Pengerusi Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. Aku bersarong kuning pulut hari itu hadir mewarnakan acara dengan lagu Miliki Kau yang puisinya termuat dalam naskah ini. 

Pesta di Padang Jiwa sebual kumpulan 50 puisi karya aku yang dikumpul sejak 2013 sehingga yang terkini. Tentang perjalanan sebagai seorang manusia, lelaki dan perindu. Sengaja aku mengulik dalam bahasa yang tidak terlalu menggunung dan melankolia tetapi dalam nuansa sastera keremajaan sesuai usia aku dan pasaran buat pembaca pascamoden. Lima bulan ada di pasaran, sudah beberapa kali aku bawanya dalam jelalah bukan saja di Malaysia tetapi sudah ke Singapura dan Dhaka.



Pesta di Padang Jiwa, Luka Nering (Malim Ghozali PK) & Mencari Nur (Marsli NO) dilancarkan oleh Tan Sri Abdul Ghaffar (berbatik belang rimau). Turut di pentas, En. Khair Ngadiron (Pengarah Urusan ITBM), En. Saleeh Rahamad (Presiden PENA) & Dato' Abang Sallehudin (DBP). 


Ulasan sekitar di acara pelancaran sempena Baca Puisi Pena.


Tuan Yahya Hamid dari Singapura (pensyarah/guru bahasa di Kementerian Pertahanan Singapura yang mengajar Bahasa Melayu kepada jeneral/leftenan republik itu. Mereka harus menguasai BM sekiranya mahu dinaikkan pangkat). Bukan satu bukan dua bahkan tiga naskah #PestadiPadangJiwa dimilikinya.


Sofia Jane mendapatkan naskah Pesta di Padang Jiwa seusai acara di Wisma ITBM






| edit post

0 Reply to "Pesta Dan Kepestaannya"