U M A R | U Z A I R

dan kisah-kisah dari kerlingan matanya

Dalam Rindu dan Kasih Bahasa - UU ke Dhaka! (0)

Saturday, March 21, 2015 by , under

Dalam Rindu dan Kasih Bahasa
di Khatak Bangladesh – Malaysia Poets Summit 2015 – Sebuah Diari
oleh
Umar Uzair


Delegasi Malaysia pada pelancaran Khatak Poets Summit 2015 
@ Shilpakala Akademi, Akademi Seni Antarabangsa Dhaka.

Hari Pertama (1 Februari 2015)

Disambut angin yang melirih pada kedinginan 15 darjah selsius di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, kami dipersilakan bagai orang penting sejak menjejak kaki di lapangan terbang sehinggalah ke penginapan. Dari dalam, kami antara terkesima dan keasyikan melihat suasana bising dan keramaian orang bercampuk aduk walaupun sudah jam 12 tengah malam.




Hari Kedua (2 Februari 2015)

Khatak Bangladesh – Malaysia Poets Summit 2015 membuka tirai pagi Isnin, 2 Februari dengan siaran langsung temubual bersama Sasterawan Negara Dato' Dr. Ahmad Khamal Abdullah di stesen tv utama negara itu; TV71. Dalam program selama sejam itu, SN Kemala berbual tentang keindahan sastera Melayu, organisasi Numera dan kunjungannya ke Dhaka yang masuk kali ke dua ini. Delegasi dari Malaysia kemudiannya dibawa melawat sekitar bandaraya Dhaka yang sesak dan membingungkan. Destinasi pertama kami ialah bangunan Parlimen Dhaka di Mohammadpur sebelum ke Universiti Dhaka. Kami turut dibawa ke Dataran Bahasa, Dhaka yang pada setiap 21 Februari, seluruh masyarakat negara ini akan berhimpun bersama-sama presiden mereka membawa jambangan bunga sebagai memperingati perjuangan bahasa Bengali yang diangkat sebagai bahasa rasmi lebih 50 darsawarsa yang lalu. Dingin cuara 19 darjah selsius menyorot kami ke acara pertama semasa senja menampan, Baca Puisi Nasional di Universiti Dhaka sehingga jam 9 malam.






Hari Kedua (3 Februari 2015)

Seminar Sastera Antarabangsa diadakan di Akademi Bangla pada jam 10 pagi. SN Dato' Dr. Kemala, Prof. Madya Arbak Othman, Dr. Fazilah Husin, Puan Raja Rajeswari dan Pn. Lily Siti Multatuliana telah membentangkan kertas kerja masing-masing dalam tema sastera dan jalinan antarabangsa pada seminar yang berlangsung lebih tiga jam itu. Umar Uzair turut menyampaikan puisi dalam dwibahasa – Bahasa Melayu dan terjemahannya dalam Bahasa Inggeris. Petang semasa warna langit beraduk biru laut dengan jingga di sebelah timur, delegasi tiba di Shilpakala Akademi, Akademi Seni Antarabangsa Dhaka untuk acara kemuncak perasmian Khatak Bangladesh – Malaysia Poets Summit 2015. Turut dihadiri Duta Malaysia, Puan Norli, acara gemilang yang dihadiri lebih dari 500 tetamu ini dirasmikan oleh Menteri Penerangan Bangladesh HE Encik Hasanul Haque Inu. Acara malam itu telah dimulakan dengan memurnikan penyampaian Anugerah Sastera Khatak kepada Sasterawan Negara Dato' Dr. Ahmad Khamal Abdullah diatas pencapaian tinggi dan sumbangan besarnya kepada sastera dunia samada di dalam dan di luar negara sebelum semua 12 penyair utama gabungan Malaysia dan Bangladesh; Sasterawan Negara Dato' Dr. Ahmad Khamal Abdullah, Profesor MadyaArbak Othman, Pn. Raja Rajeswari Seetha Raman, Dr. Fazilah Husin, Umar Uzair dan Lily Siti Multatuliana dari Malaysia bersama Asad Chowdury, Hayat Saif, Habibullah Sirajee, Muhammad Nurul Huda, Jahidul Huq dan Aminur Rahman dari Bangladesh dan seorang penyair undangan dari Belgium, Germain Droogenbroodt telah diraikan dengan gemilang sekaligus menyampaikan persembahan puisi mereka.






Hari Ketiga (4 Februari 2015)

Kami terus dibawa membebalh dada kota dealam kesesakan Dhaka pada pagi Rabu ke Expo Barangan Antarabangsa yang menjual pelbagai barangan buatan negara itu termasuklah kain-kain eksklusif, baju, barangan kemas dan aksesori sebelum dibawa ke Ekspo Buku Antarabangsa Ekushey 2015. Pesta buku terbesar di negara itu mempamerkan lebih 200 badan penerbitan di sebuah dataran luas yang terbuka. Pada acara ini kami telah dibawa ke khemah penerbitan Adorn Publication yang telah menerbitkan buku-buku acara rasmi sepanjang Khatak Poets Summit 2015 ini. Sebuah temubual ekslusif dengan SN Dato' Dr. Kemala turut diadakan secara langsung pada petang itu bersama lima lagi seniman Malaysia yang terlibat. Seusai acara, kami dibawa lagi ke Shilpakala Akademi. Kali ini untuk acara penghormatan kepada penyair besar Bangladesh, Fazal Shahabudin yang telah mangkat pada 2014 lalu. Acara selama dua jam itu menyoroti kebesaran karya sastera penyair ini yang dihadiri sahabat terdekat dalam kalangan seniman dan khayalak pencinta sastera. Kami turut dirai dengan menyampaikan puisi dalam dwibahasa – Bahasa Melayu & Bahasa Inggeris serta bersama merasmikan Memorial Book on Poet Fazal Shahabuddin.




Hari Keempat (5 Februari 2015)

Pagi hari keempat ini digunakan sebaiknya oleh kami untuk membeli belah barangan tempatan terutamanya kain, busana tradisional dan aksesori selain buku-buku terbitan negara ini yang boleh dibeli dengan harga cukup rendah. Suasana dingin kekal pada 20 darjah selsius tidak membantuti hasrat beli belah sehingga makan tengah hari. Pada sebelah petang, delegasi dibawa menyusur jalan raya ke Galeri Seni Chitrak di bucu Dhanmondi, Dhaka. Geleri lukisan terkenal ini telah dipilih sebagai lokasi untuk meraikan tiga seniman SN Dato' Dr. Kemala (Malaysia), Aminur Rahman (Bangladesh) dan Germain Droogenbroodt (Belgium). Acara ini telah menyerlahkan sisi seniman bukan cuma sebagai penyair tetapi juga sebagai pelukis dengan pameran lukisan oleh ketiga-tiganya. Dengan tema 'Paintings Trough The Eyes of Poets', ia dirayakan dalam susana cukup mesra oleh kerabat seniman negara ini selain kami turut dipersilakan untuk membacakan puisi dan mengadakan persembahan seni selain mengenali pelukis dan karya besar Bangladesh. Acara di Galeri Chitrak ini merupakan destinasi rasmi acara yang terakhir sepanjang program di Dhaka. Keintiman dan kemesraan yang telah dipersembahkan kepada kami menjadi kenangan yang abadi. Perjuangan bahasa dan seni yang tekal meski hidup dalam suasana serba kekurangan menjadi bekalan untuk keenam-enam seniman utama yang dibawakan ke Khatak Poets Summit ini untuk dibawa pulang ke negara seterusnya menjadi pemangkin untuk memperkasa bahasa dan budaya Melayu.



Hari Kelima (6 Februari 2015)

Kerinduan dan kasih yang menebal kepada negara sendiri sudah tidak dapat dibendung setelag lima hari bersenggang di negara dua musim ini. Cuaca panas lembab, nasi lemak dan kuih-kuih Melayu antara yang menjadi perbualan kami semasa menunggu untuk mendaftar masuk. Penerbangan yang sepatutnya dijadualkan pada jam 10.15 petang dilewatkan sehingga dua jam kemudian. Meski ada angin kencang melanda penerbangan kami semasa di atas awan, delegasi dari Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL-2 pada jam 6 pagi.







| edit post

0 Reply to "Dalam Rindu dan Kasih Bahasa - UU ke Dhaka!"